PM Thai digantung tugas, Dinasti Shinawatra bakal berakhir

PM Thai digantung tugas, Dinasti Shinawatra bakal berakhir

Bangkok: Penggantungan tugas Paetongtarn Shinawatra sebagai Perdana Menteri Thailand memberi tamparan hebat kepada keluarga politik paling berpengaruh di negara ini yang pernah dua kali menawan tampuk kuasa sebelum digulingkan tentera.

Paetongtarn, 39, yang baru memegang jawatan itu tidak sampai setahun digantung tugas Mahkamah Perlembagaan Thailand susulan siasatan terhadap dakwaan pelanggaran etika berkaitan panggilan diplomatik dengan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen.

Dilahirkan di Bangkok pada 21 Ogos 1986, Paetongtarn yang lebih dikenali dengan nama gelaran Ung Ing, anak ketiga Thaksin Shinawatra, bekas pegawai polis yang kemudian menjadi jutawan telekomunikasi dan Perdana Menteri paling dominan Thailand pada awal 2000-an, sebelum digulingkan dalam rampasan kuasa 2006.

Beliau mendapat pendidikan dalam bidang pengurusan hotel di Britain dan berkahwin dengan juruterbang komersial, Pidok Sooksawas, pada 2019 sebelum dikurniakan dua anak.

Paetongtarn bergiat aktif dalam politik pada hujung 2022 selepas bertahun berada di belakang tabir sebagai penggerak empayar perniagaan keluarga termasuk sektor perhotelan.

Meskipun hamil ketika kempen Pilihan Raya Umum 2023, beliau muncul sebagai wajah utama kempen Pheu Thai, dalam cuaca panas terik dan menarik perhatian ramai apabila kembali berkempen hanya dua minggu selepas melahirkan anak lelaki yang digelarnya sebagai kuasa rahsia.

Buat pertama kali dalam sejarah, parti pimpinan keluarga Shinawatra kalah undi popular apabila hanya menduduki tempat kedua, namun mereka akhirnya membentuk kerajaan melalui gabungan dengan parti protentera, musuh tradisi Pheu Thai.

Usaha beliau untuk menunjukkan dirinya sebagai pemimpin berdikari tidak dapat lari daripada bayangan bapanya.

Kritikan terhadap pengaruh Thaksin dalam Pheu Thai tidak pernah reda dan kini kembali diperkatakan apabila kedua-duanya berdepan masalah undang-undang serentak.

Ketika Paetongtarn digantung, Thaksin pula sedang berdepan tuduhan menghina institusi diraja, di bawah undang-undang lese majeste yang ketat di Thailand.

Paetongtarn sebelum ini pernah menyatakan, dirinya masih ‘gadis kecil ayah’ dan kekal mendapat kekuatan daripada sokongan serta nasihat Thaksin.

Paetongtarn mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Ogos lalu, selepas pendahulu, Srettha Thavisin, digugurkan daripada jawatan itu oleh mahkamah.

Kini, kedudukannya goyah selepas Mahkamah Perlembagaan memutuskan terdapat sebab munasabah untuk menyiasat dakwaan pelanggaran etika menteri berhubung panggilan telefon yang bocor kepada umum apabila beliau merujuk Hun Sen sebagai ‘pak cik’ dan menyifatkan seorang panglima tentera Thai sebagai lawan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top