PM ucap tahniah atas kemenangan filem dayak di WFC Singapore 2021

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah dan berkongsi kegembiraan atas kejayaan filem indie, Belaban Hidup: Infeksi Zombie memenangi kategori Seram dan Sains Fiksyen bagi genre filem cereka di World Film Carnival (WFC) Singapore 2021 minggu lepas (18 Mac).

Dalam ucapan di laman Facebooknya, Muhyiddin berkata kemenangan berkenaan membuktikan negara tidak ketandusan bakat dalam menghasilkan karya seni yang berkualiti antarabangsa selain meneruskan kesinambungan kejayaan filem dan terbitan kreatif tempatan di peringkat antarabangsa.

“Saya yakin filem yang menggabungkan elemen seram dan aksi yang mengetengahkan kisah pahlawan Dayak Sarawak ini secara tidak langsung mampu mempromosi Malaysia, khususnya kepelbagaian etnik, budaya dan bahasa di Sarawak kepada dunia.

“Tahniah kepada pengarah filem kelahiran Sarawak, Ray Lee, saudari Misha Minut dan semua pihak yang terlibat dalam penerbitan serta para pelakon atas kemenangan ini yang tentunya turut mengharumkan nama Malaysia di luar negara,” katanya.

Dalam pada itu Muhyiddin turut berharap agar filem yang dijangka memasuki pawagam pada Ogos depan itu akan mendapat sambutan daripada peminat-peminat filem tempatan.

Filem Belaban Hidup: Infeksi Zombie yang mendapat dana dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, menggabungkan elemen seram dan aksi masyarakat Dayak di Sarawak mengisahkan sekumpulan anak yatim dikurung untuk menjadi bahan uji kaji oleh seorang saintis gila.

Filem berkenaan turut tercalon di International Symbolic Art Film Festival di Rusia dalam dua kategori iaitu Filem Terbaik dan Filem Seram Terbaik yang akan berlangsung pada 27 Mac ini.

Filem berkenaan menampilkan barisan pelakon tempatan seperti Pekin Ibrahim, Altimet, Pablo Amirul, Anna Melissa, Cassidy Panggau dan penyanyi Indonesia, Tegar serta pelakon kelahiran Slovakia, Katrina Grey.- BERNAMA