Chong Wei mahu pulihkan masalah disiplin dalam BAM

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Masalah disiplin pemain yang disifatkan sebagai agak teruk dalam kem Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak boleh diselesaikan dalam sekelip mata, sebaliknya memerlukan masa dan kerjasama semua pihak untuk diperbaiki secara menyeluruh.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, masalah berkenaan bukan membabitkan satu isu atau bahagian tertentu sahaja, sebaliknya terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan satu demi satu.

Katanya, isu seperti pemain perlu berada di hostel ketika ini dilihat semakin positif apabila setiap pemain memberi kerjasama yang baik. Namun, terdapat beberapa perkara yang kini menjadi perhatian termasuk keluar malam ketika menyertai pertandingan di luar negara.

“Saya boleh katakan masalah disiplin kita agak teruk. Bukan kerana satu isu sahaja, tetapi banyak isu yang berlaku sebelum ini dan kita kena selesaikan satu demi satu.

“Perubahan bukan boleh berlaku dalam satu dua hari atau satu dua bulan. Kelmarin saya sudah bermesyuarat dengan semua jurulatih dan memberikan penerangan kepada mereka mengenai perkara ini.

“Bukan satu, dua atau tiga bulan kita boleh ubah semuanya. Berikan saya sedikit masa untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Menurut pemenang tiga kali pingat perak di Sukan Olimpik itu, aspek disiplin perlu diberi perhatian serius kerana ia mempunyai kaitan secara langsung dengan prestasi pemain di gelanggang.

Setiap pemain perlu membiasakan diri dengan disiplin yang baik bagi membolehkan prestasi mereka meningkat secara berperingkat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top