PM ucap takziah kepada keluarga Ahmad Nawab

PM ucap takziah kepada keluarga Ahmad Nawab

Kuala Lumpur: Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Tokoh Seniman Negara, Tan Sri Ahmad Khan Nawab Khan atau Ahmad Nawab, yang meninggal dunia, petang tadi.

Dalam hantarannya di Facebook, Anwar menyifatkan Ahmad Nawab bukan sekadar komposer dan pemuzik unggul malah memiliki jiwa seni menyentuh hati seluruh rakyat menerusi karya indah dan penuh makna.

“Negara kehilangan seorang tokoh dan permata seni yang begitu besar jasanya dalam memperkayakan landskap muzik tanah air, bukan sahaja menjadi warisan seni, tetapi juga menjadi pengikat perpaduan di dalam masyarakat kita.

“Jasa Allahyarham akan sentiasa dikenang sebagai legenda yang tiada galang gantinya.

“Takziah saya utuskan kepada keluarga Allahyarham. Mendoakan ruh Allahyarham diampunkan segala dosanya dan diberi tempat istimewa di sisi-Nya, Insya-Allah. Al-Fatihah,” katanya menurut hantaran itu.

Ahmad Nawab, 92, meninggal dunia di kediaman di Taman Melewar, di sini, pada jam 3.15 petang tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top