PN akan lakukan 'post mortem' kekalahan DUN Nenggiri

PN akan lakukan 'post mortem' kekalahan DUN Nenggiri

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Kekalahan calon Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan logo Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Sabtu lalu disebabkan pelbagai faktor.

Pengerusi Bersatu Kelantan Datuk Kamaruddin Md Noor berkata, PN akan membuat siasatan dan bedah siasat berhubung kekalahan itu.

Menurutnya, keputusan siasatan itu akan diperoleh dalam masa terdekat untuk dibuat rujukan pada masa akan datang.

“Kita akan buat bedah siasat dan tidak boleh kata apa lagi setakat ini. Kita kena selesai kajian baru dapat kepastian apa benda (punca) dan ia adalah kombinasi pelbagai dan tidak ada satu faktor sahaja.

“Kita akan dapat lihat kepastian (punca kekalahan) selepas meneliti hasil kajian dalam masa terdekat dan tidak boleh buat kesimpulan lagi.

“Namun, kita berlapang dada kerana pengundi sudah memilih calon mereka. Ini kerana pengundi mempunyai kecenderungan yang tidak sama,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ketika ditanya adakah punca kekalahan disebabkan calon, Mohd Rizwadi Ismail adalah ahli Pas yang baru menyertai Bersatu selama dua hari sebelum diumumkan sebagai calon, Kamaruddin berkata, perkara itu juga akan diteliti dalam kajian mereka.

Beliau juga berpuas hati dengan ikhtiar, usaha dan komitmen semua pihak dalam PN termasuk jentera yang bekerjasama secara pasukan dengan baik.

Barisan Nasional (BN) meneusi calonnya, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang juga Ketua Pemuda Umno Kelantan menang pada PRK DUN Nenggiri dengan majoriti besar iaitu sebanyak 3,352 undi selepas memperoleh 9,091 undi dan menewaskan Mohd Rizwadi yang hanya meraih 5,739 undi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top