PN cuba ambil peluang sokong UMNO – Ahmad Zahid

PN cuba ambil peluang sokong UMNO – Ahmad Zahid

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan cuba untuk mencari peluang dengan menyatakan sokongan kepada UMNO negeri itu.

Presiden UMNO itu mendakwa PN Negeri Sembilan cuba untuk ‘merangkul’ peluang itu susulan keputusan UMNO Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Dalam politik tentu peluang sedang dicari dan tentu peluang ini yang cuba dirangkul oleh mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Wawancara Eksklusif Bersama Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Terdahulu UMNO Negeri Sembilan menarik balik sokongannya terhadap Aminuddin susulan krisis yang melibatkan Institusi Adat dan Perlembagaan di negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan itu dibuat sebulat suara oleh semua 14 ADUN kerana hilang kepercayaan kepada kepimpinan Aminuddin.

PN Negeri Sembilan selepas itu menyatakan sokongan kepada kepemimpinan UMNO BN yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut menyatakan pihaknya akan meneliti sama ada tindakan UMNO Negeri Sembilan ini akan menjejaskan hubungan di peringkat nasional.

“Kita melihat semua aspek dan di dalam perkara ini kita akan meneliti,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya juga akan membincangkan mengenai sama ada keputusan dibuat itu memerlukan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top