SETAPAK – Perikatan Nasional (PN) Setiawangsa melancarkan inisiatif Setiawangsa Prihatin bagi membantu penduduk susulan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Setiawangsa yang sebelum ini disandang bekas Ahli Parlimen, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Yang Dipertua Pas Setiawangsa, Dr Zuraini Hashim berkata, inisiatif itu merangkumi tujuh perkhidmatan utama termasuk pusat aduan rakyat secara fizikal dan dalam talian, khidmat nasihat guaman dan kaunseling, tuisyen rakyat, ziarah prihatin rakyat, ziarah medik dan syifa’, program riadah anak muda serta kuliah pengajian agama dan moral.
Beliau berkata, ketiadaan wakil rakyat di kawasan berkenaan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dijangka memberi kesan kepada penduduk setempat.
Katanya, atas dasar itu, pihaknya mengambil pendekatan sedemikian untuk bersama dengan rakyat supaya tiada seorang pun tercicir daripada bantuan kebajikan.
“Kami akan terus memainkan peranan sebagai jambatan penghubung antara rakyat dan agensi berkaitan serta komited dalam membantu menyelesaikan isu-isu berbangkit demi kesejahteraan masyarakat setempat.
“Inisiatif sebegini bukan baharu, kami dah lama buat tetapi ia diperkukuh dan ditambah baik lagi contohnya pusat aduan rakyat dibuka secara fizikal dan dalam talian, selaras perkembangan teknologi serta keperluan semasa,” katanya.

Zuraini ketika sidang media di Pejabat Pas dan PN Setiawangsa pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Pelancaran Pusat Khidmat Setiawangsa Prihatin di Pejabat Pas dan PN Kawasan Setiawangsa di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Setiawangsa, Ewan Radzuan dan Timbalan Yang di-Pertua Pas Setiawangsa, Ubaid Akla.
Menurut Zuraini, pihaknya akan mengambil tindakan susulan terhadap setiap aduan, cadangan dan maklum balas yang diterima daripada penduduk.
“Apa yang kami tumpu adalah hasrat rakyat direalisasikan, bukan hasrat parti,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, inisiatif menyantuni penduduk sudah bermula sejak dahulu lagi menerusi aktiviti riadah, penyaluran bantuan asas dan lain-lain kepada golongan sasar.
“Kami juga selalu bersantai dan minum petang bersama penduduk untuk kami faham permasalahan mereka, lebih-lebih lagi selepas Parlimen ini tiada lagi wakil rakyat.
“Daripada situlah jaringan bersama rakyat, alhamdulillah semakin rapat dan kami tidak ingin sambil lewa dengan sambutan yang diberikan oleh penduduk, sebaliknya memperkukuh sistem perkhidmatan PN Setiawangsa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ewan berkata, idea penubuhan Setiawangsa Prihatin merupakan permintaan daripada komuniti setempat itu sendiri selepas pihaknya turun padang mendekati penduduk baru-baru ini.

Ewan Radzuan
“Apabila Nik Nazmi umum tidak lagi sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa, penduduk kongsikan kebimbangan mereka dan kami berbincang sekitar empat hari lepas untuk melancarkan Inisiatif Setiawangsa Prihatin,” katanya.
Sebelum ini, Nik Nazmi mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), seterusnya mengosongkan kerusi Parlimen Setiawangsa berkuat kuasa pada Isnin lepas.
Surat pengosongan kerusi Parlimen Setiawangsa diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Isnin dan seterusnya pemakluman rasmi keluar parti kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh pada Selasa.
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli turut mengambil tindakan sama dengan meninggalkan PKR serta mengosongkan kerusi Parlimen Pandan.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tiada pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan bagi kedua-dua kerusi Parlimen berkenaan.



