PN tidak tolak kemungkinan Aliakbar sokong Hajiji – Sanusi

PN tidak tolak kemungkinan Aliakbar sokong Hajiji – Sanusi

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan wakil tunggal gabungan itu di Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan akan memberi sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata perkara itu boleh berlaku memandangkan Aliakbar yang juga Pesuruhjaya PAS Sabah adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik oleh kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.

Katanya, kemenangan Aliakbar di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai juga berkemungkinan disumbangkan kerana tugasnya sebagai ADUN lantikan sehingga dikenali ramai pihak sebelum ini.

“Saya belum tahu lagi, sebelum ini dia (Aliakbar) dalam kerajaan negeri bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga. Kemudian ini tak tahu mungkin ada (dia bersama kerajaan negeri),” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Pengurusan Ladang Antara Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah (KLPK).

Pertandingan 11 penjuru di DUN Karambunai menyaksikan Aliakbar yang bertanding atas tiket PN meraih 7,054 undi untuk menang dengan majoriti 365 undi, mengatasi WARISAN (6,689), GRS (4,818) dan Barisan Nasional (4,475).

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar berkata, kemenangan Aliakbar mengadakan kehadiran PN terutamanya PAS di Sabah, walaupun sentimen PRN Sabah dilihat lebih kepada persaingan parti tempatan.

“Kita kemuka calon yang terbaik untuk Sabah dan saya tengok ada peningkatan undi yang diperoleh, walaupun persaingan itu banyak penjuru.

“Dulu dia (Aliakbar) ADUN dilantik, mungkin dia sudah terbiasa dengan orang-orang di situ. Saya ucap tahniah kepada beliau dan juga pengundi di Sabah, akan ada suara PN di sana,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top