PN umum calon, bekas timbalan Ketua Polis Melaka bertanding di Sikamat

PN umum calon, bekas timbalan Ketua Polis Melaka bertanding di Sikamat

SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) melengkapkan senarai kerusi hasil persefahaman dan rundingan yang diadakan bersama Barisan Nasional (BN) apabila mengumumkan calon di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Kesemua calon yang diumumkan oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar itu termasuklah bekas Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah yang dipertaruhkan di DUN Sikamat.

Selain itu, PN turut mencalonkan anak kepada Pengerusi Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara), Tan Sri Dr. Rais Yatim iaitu Danni Rais di kerusi Klawang selain bekas Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Rafie Abd. Malek di Ampangan.

PN juga mengekalkan penyandang mereka di kerusi DUN Serting, Paroi, Bagan Pinang dan Gemas.

Serting akan diwakili oleh Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohd. Fairuz Mohd. Isa dan Ridzuan Ahmad di Gemas yang kali ini bertanding atas tiket Wawasan Negara. Ridzuan sebelum ini mengumumkan keluar keahliannya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Selain itu, PN juga akan bertanding di Lobak, Mambau, Bukit Kepayang dan juga Lukut.

Semalam BN mengumumkan 25 orang calonnya daripada keseluruhan 36 buah kerusi DUN di negeri ini bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan yang mana tarikh pengundiannya telah ditetapkan pada 1 Ogos ini.-UTUSAN.

Scroll to Top