Jerebu ancam kemeriahan final Piala Dunia di New York

Jerebu ancam kemeriahan final Piala Dunia di New York

New York: Asap kebakaran hutan di Kanada menyelubungi sebahagian besar kawasan timur laut Amerika Syarikat (AS), sekali gus mencetuskan amaran kesihatan namun keadaan dijangka pulih menjelang aksi final Piala Dunia Ahad ini.

Lebih 80,000 penonton dijangka membanjiri Stadium New York-New Jersey bagi menyaksikan perlawanan akhir membabitkan juara bertahan, Argentina, menentang juara Eropah, Sepanyol.

Selain itu, kira-kira 50,000 lagi peminat dijangka mengikuti tayangan langsung perlawanan di Central Park, Manhattan.

Bandar Raya New York mula merasai kesan jerebu akibat kebakaran hutan sejak awal minggu ini, menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya mengurangkan aktiviti lasak di luar serta mengambil rehat lebih kerap jika berada di kawasan terbuka.

Sehingga Khamis, kualiti udara di New Jersey lokasi stadium final, dikategorikan sebagai “tidak sihat bagi kumpulan sensitif” oleh beberapa platform pemantauan kualiti udara.

Pakar meteorologi AccuWeather, Alex DaSilva berkata, kawasan yang mengalami kepekatan asap tinggi boleh menyebabkan masalah pernafasan, khususnya kepada individu yang mempunyai penyakit berkaitan sistem respiratori.

“Mereka yang lebih sensitif atau mempunyai masalah pernafasan disaran berada di dalam bangunan selama mungkin.

“Hujan lebat dijangka turun pada Sabtu dan ia akan membantu mengurangkan sebahagian besar asap.

“Menjelang pagi Ahad pula, satu sistem udara sejuk dijangka melintasi kawasan ini dan akan menyingkirkan baki asap yang masih ada,” katanya kepada Reuters.

Gabenor New York, Kathy Hochul, berkata asap daripada kebakaran hutan Kanada mewujudkan keadaan udara yang tidak sihat di seluruh negeri itu.

“Asap daripada kebakaran hutan Kanada akan terus menyelubungi New York hari ini. Kualiti udara dijangka bertambah buruk dengan keadaan yang sangat tidak sihat di kebanyakan kawasan negeri ini.

“Jika boleh, kekal berada di dalam bangunan,” katanya.

Asap daripada kebakaran hutan di utara Kanada menjadi fenomena yang semakin kerap berlaku pada musim panas di sebahagian besar AS sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

DaSilva bagaimanapun berkata, penonton dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar pada sehari sebelum final, namun risiko dijangka jauh lebih rendah apabila sepak mula berlangsung waktu petang.

“Kami menjangkakan asap akan terus beralih keluar dari kawasan ini apabila memasuki hujung minggu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top