Atlanta: Kapten Argentina, Lionel Messi tidak terkejut dengan kemampuan pasukannya bangkit sekali lagi daripada ketinggalan apabila menewaskan England 2-1 untuk mara ke final Piala Dunia 2026.
Messi, 39, mencipta dua bantuan gol kepada Enzo Fernandez dan Lautaro Martinez pada penghujung perlawanan di Stadium Atlanta, sekali gus membantu juara dunia itu melakar kebangkitan dramatik ke atas skuad kendalian Thomas Tuchel.
Kemenangan itu meneruskan siri kebangkitan Argentina sepanjang kempen kali ini selepas mengatasi Cape Verde pada masa tambahan di pusingan 32 terbaik, menewaskan Mesir 3-2 selepas ketinggalan 0-2 pada pusingan 16 terbaik serta menundukkan Switzerland menerusi masa tambahan di suku akhir.
“Kumpulan ini langsung tidak mengejutkan saya. Saya tahu dan kami semua tahu kemampuan yang kami ada.
“Mungkin ada yang meragui kami kerana beberapa pemain sudah berada pada tahap maksimum, tetapi setiap kali kami bersatu sebagai satu pasukan, kami sentiasa memperoleh kekuatan tambahan.
“Mereka saling memberi inspirasi. Mereka menemui sesuatu dalam diri mereka yang sebelum ini tidak mereka sedari dan memberikan segala-galanya,” katanya.
Messi, yang kini beraksi pada Piala Dunia keenamnya, mengakui masih menikmati setiap detik kejohanan itu dan tidak memikirkan soal persaraan.
Dia kini mengalihkan tumpuan kepada final menentang Sepanyol di New Jersey, awal pagi Isnin ini, sambil mengakui cukup mengenali corak permainan lawan yang pernah menjadi tempat dia menghabiskan 17 tahun bersama Barcelona.
“Ia pasukan yang saya kenal dengan baik. Mereka mempunyai falsafah bola sepak yang sama sejak sekian lama.
“Saya mengenali pemain-pemain mereka. Saya pernah menentang mereka, mengikuti perkembangan mereka dan beberapa daripada mereka kini bersama Barcelona, kelab yang saya cintai.
“Ini perlawanan istimewa, final Piala Dunia. Saya menjangkakan aksi yang cukup seimbang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




