kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan kerjasama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain, komited untuk menerajui inisiatif 10 Juara Bumiputera di bawah Program Pengaktifan dan Reformasi Entiti Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP), yang menjadi sebahagian daripada agenda Ekonomi MADANI.
Program strategik ini dibentuk untuk melahirkan 10 syarikat Juara Bumiputera masing-masing dengan permodalan pasaran atau nilai perusahaan sekurang-kurangnya RM500 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menerusi sokongan kolektif dan pendekatan menyeluruh yang membabitkan GLIC, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta kerajaan, inisiatif ini bertujuan memacu pertumbuhan mampan dan memperkasa komuniti Bumiputera selaras dengan objektif GEAR-uP.
Timbalan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rick Ramli berkata, usaha strategik itu merujuk kepada fakta bahawa hanya lima daripada 220 syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia antara tahun 2020 hingga 12 November 2025 adalah milik Bumiputera.
Katanya, ini menunjukkan keperluan mendesak untuk pendekatan bersepadu bagi membina juara yang boleh dipercayai dan berskala serta meningkatkan keyakinan pasaran dan pelabur terhadap syarikat Bumiputera.
“Selaras dengan mandat dan matlamat PNB, inisiatif 10 Juara Bumiputera mencerminkan komitmen PNB terhadap pertumbuhan ekonomi inklusif, memastikan perusahaan Bumiputera mampu bersaing pada skala besar dan menyumbang secara bermakna kepada daya tahan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan.
Di bawah inisiatif ini, PNB dan GLIC lain akan memperkasa pertumbuhan syarikat Bumiputera dengan mengenal pasti syarikat yang mempunyai asas kukuh dan potensi menjanjikan serta menyokong mereka untuk mencapai tahap baharu.
Sokongan ini merangkumi pembangunan kapasiti, memudahkan akses pasaran melalui rangkaian luas GLIC, memberikan panduan strategik untuk mempercepat pengembangan dan membangunkan Pelan Penciptaan Nilai (VCP) dengan pihak pengurusan bagi merangka strategi pertumbuhan yang disesuaikan untuk membuka nilai jangka panjang.
Dengan melahirkan syarikat yang kukuh dan berdaya saing, PNB dan GLIC lain berhasrat mewujudkan rangkaian Juara Bumiputera yang berpotensi dan mampu menjadi peneraju pasaran, memacu inovasi, menarik pelaburan dan menjana nilai jangka panjang untuk semua pihak berkepentingan.
Program Juara Bumiputera, konsep di bawah inisiatif PuTERA35 dan diselia oleh Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan oleh Perdana
Menteri, turut diperkukuh dengan peruntukan RM40 juta di bawah Belanjawan Malaysia 2026.
Antara kejayaan awal program ini ialah penyenaraian Orkim Bhd pada 9 Disember 2025, syarikat hiliran minyak dan gas terkemuka yang mengkhusus dalam pengangkutan marin produk petroleum.
© New Straits Times Press (M) Bhd
