aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jumaat ini bermulalah tugas buat bekas jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim di tempat baharu selepas khidmatnya ditamatkan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
Poad kini secara rasmi tidak lagi akan bergelar jurulatih kebangsaan dan akan memulakan tugas di Sekolah Sukan Kedah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, Kedah berkuat kuasa 1 November.
Namun bagi Poad, usahanya dalam memajukan sukan olahraga tidak akan terhenti dan ia akan tetap diteruskan demi kemajuan olahraga negara di tempat baharu.
“Pertama kali saya nak ucapkan syukur kerana Allah permudahkan urusan saya walaupun dalam jangka masa yang terhad ada pihak sudi menerima saya untuk meneruskan khidmat sebagai jurulatih.
“Di kesempatan ini, saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Majlis Sukan Negara (MSN) kerana banyak memberi sokongan dan dokongan sepanjang saya melatih atlet Podium dan pecut di MSN.
“Biarpun tidak sampai dua tahun saya di MSN, saya gembira kerana berjaya membantu atlet mencapai kejayaan dengan dua rekod kebangsaan dapat di pecahkan.
“Pertama dalam acara 4×100 meter (m) wanita di Sukan Sea Kemboja dan acara 100m wanita.
“Ia satu yang menggembirakan dan satu kepuasan buat saya,” katanya.
Di akhir khidmatnya sebagai jurulatih kebangsaan, Poad mencipta sensasi dengan kejayaan membimbing Zaidatul Husniah Zulkifli melebur rekod kebangsaan 100m milik G Shanti.
Zaidatul mencatatkan masa 11.49 saat (s) ketika memenangi kejohanan Terbuka Perlis, awal bulan ini, sekali gus memadam rekod 11.50s yang dilakukan Shanti di Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993.
Malah di bawah bimbingan Poad, barisan kuartet 4x100m wanita meraih gangsa di Sukan Asia, Hangzhou tahun lalu selain Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal memecahkan dua rekod temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Kuching, Sarawak dalam acara 100m dan 200m baru-baru ini.
Ditanya sama ada beliau akan terus melatih atlet kebangsaan yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk kekal di bawah bimbingan beliau, Poad berkata, beliau sedia untuk membantu.
Namun begitu, ia perlu mendapat persetujuan oleh pihak berkenaan agar tidak timbul masalah di kemudian hari.
“Bagi saya, tiada masalah jika atlet seperti Zaidatul atau Afrina ingin menggunakan program latihan saya, tetap ia mesti mendapat persetujuan pihak berkenaan.
“Jadi saya harap jika ada atlet yang ingin meneruskan latihan bersama saya, perkara ini perlu dibincangkan secepat mungkin oleh pihak berkenaan.
“Ini kerana ada atlet sudah menyatakan kebimbangan mereka jika program latihan mereka pada masa ini terganggu kerana Sukan Sea Thailand 2025 sudah tidak lama lagi,” katanya.
Poad sebelum ini berkhidmat sebagai guru di Chabau, Jasin, Melaka sebelum berpindah ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).
Dia kemudiannya berhijrah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Perak sebelum menjadi jurulatih sepenuh masa di MSN.
© New Straits Times Press (M) Bhd




