JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang membuktikan dirinya masih ‘berbisa’ untuk menjadi pencabar di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila cemerlang memperoleh gelaran keirin lelaki di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Adelaide, Australia hari ini.
Pada perlumbaan yang berlangsung di Super-Drome itu, pelumba yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu mempamerkan kayuhan bertenaga mengetepikan cabaran getir dari dua pelumba Jepun, Shinji Nakano dan Kaiya Ota untuk memperoleh emas pertamanya tahun ini.
Kemenangan itu sekali gus memberi mata buat Mohd Azizulhasni untuk ke pentas Sukan Olimpik Paris 2024, Julai ini.
Pelumba berusia 36 tahun itu sebelum ini menduduki tempat ketiga pada peringkat separuh akhir untuk mara ke pusingan akhir.



