Polis akan tuduh suspek sebaik selesai siasatan di Negeri Sembilan

Polis akan tuduh suspek sebaik selesai siasatan di Negeri Sembilan

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pertuduhan ke atas bapa kepada kanak-kanak lelaki yang ditemukan mati tertanam dalam belukar di Rompin, Jempol akan dilakukan selepas siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, Negeri Sembilan selesai.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima arahan tuduh terhadap suspek berusia 36 tahun membabitkan beberapa kes.

Menurutnya, siasatan terhadap lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

“(Polis) Johor sudah mendapat arahan tuduh terhadap suspek dan kita akan tuduh beliau selepas mendapat keputusan (selesai siasatan) di bawah (Seksyen) 302 Kanun Keseksaan.

“Ini membabitkan kes mencederakan isteri dan laporan polis suspek yang mendakwa anaknya hilang,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Harian Metro pada 28 Julai lalu melaporkan kanak-kanak yang dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor, pada 24 Julai lalu, ditemukan ditanam di kawasan Rompin, Jempol.

Hasil bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak lelaki itu mendapati mangsa maut akibat jerutan menggunakan pengikat kabel.

Berikutan itu, bapa mangsa ditahan untuk siasatan dan diserahkan ke IPD Jempol pada 31 Julai lalu selepas proses tahanan reman di Johor selesai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top