am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pasukan guaman yang mewakili keluarga Zara Qairina Mahathir mendakwa polis tidak mengambil pakaian dan barang peribadi dipakai mangsa ketika ditemui meninggal dunia di bawah bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu.
Peguam, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri melalui kenyataan bersama hari ini berkata, semua pakaian dan barang milik Zara sudah diserahkan oleh pihak hospital kepada ibu mangsa pada hari kejadian dan kini berada dalam jagaan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik keluarga.
“Sejak 17 Julai 2025 sehingga ke hari ini, polis tidak pernah mengambil atau memohon dari anak guam kami untuk mendapatkan semua pakaian dan barang berkenaan bagi tujuan siasatan.
“Kami sangat terkejut dengan perkara di atas kerana sepanjang pengalaman kami melakukan kes-kes perbicaraan jenayah di mahkamah, polis akan merampas semua item yang dipakai oleh seorang mangsa yang disyaki mati akibat apa-apa tindakan jenayah bagi tujuan siasatan,” katanya.
Peguam berkenaan juga menjelaskan, semua pakaian dan barang berkenaan adalah bahan bukti penting yang sewajarnya diperiksa dan dianalisis secara forensik bagi menentukan kematian Zara membabitkan unsur-unsur jenayah atau tidak.
“Kegagalan pihak polis berbuat demikian menimbulkan tanda tanya serius sama ada siasatan mereka hanya fokus ke arah mati mengejut atau bunuh diri sahaja; sedangkan ibu Zara sudah memfailkan beberapa laporan polis memohon siasatan berkenaan kematian Zara yang mempunyai unsur-unsur jenayah.
“Oleh itu, kami berpendapat bahawa kertas siasatan yang sudah dihantar ke Jabatan Peguam Negara adalah tidak lengkap, tidak menyeluruh dan mempunyai fokus yang sangat kecil.
“Apatah lagi, tidak ada bedah siasat dilakukan terhadap jenazah Zara sebelum pengebumiannya,” katanya.
Dalam pada itu, peguam berkenaan berkata, pihaknya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan keprihatinan beliau terhadap Zara.
“Kami berharap beliau dapat menasihati Peguam Negara agar mengembalikan semula kertas siasatan kepada pihak polis dan bersetuju dengan cadangan kami mengadakan bedah siasat dan inkues dengan seberapa segera bagi menentukan punca sebenar kematian Zara dan sekiranya wujud unsur-unsur jenayah dalam kematiannya,” katanya.
Terdahulu, Anwar memberi jaminan tiada perlindungan diberi kepada mana-mana pihak termasuk pelaku kes membabitkan kematian Zara Qairina yang dikaitkan dengan insiden buli, baru-baru ini.
Perdana Menteri berkata, kematian dengan cara itu bukan perkara yang dipandang ringan dan mahu siasatan mendalam dilaksanakan oleh pihak berkuasa dengan kadar segera.
© New Straits Times Press (M) Bhd




