Polis buka kertas siasatan video tular anggota trafik tampar penunggang motosikal – Utusan Digital

TANJUNG MALIM: Polis membuka kertas siasatan susulan penularan video dalam aplikasi TikTok berkaitan dakwaan anggota trafik menampar seorang penunggang motosikal, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, berdasarkan siasatan, tiada kejadian seumpama itu berlaku seperti mana yang dinyatakan pemilik akaun tersebut menerusi video berdurasi 26 saat yang dimuat naik di media sosial semalam.

Sehubungan itu katanya, siasatan dijalankan ke atas pemilik akaun mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

“Kejadian seperti dirakam video itu berlaku Sabtu lalu sekitar 2.30 petang semasa pasukan penguatkuasaan trafik menjalankan tugas rondaan dan snap check di Kilometer 100, Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur.

“Semasa penugasan itu, anggota telah menahan sebuah motosikal yang ditunggangi dua lelaki yang melarikan diri daripada pemeriksaan polis.

“Mereka telah memberi peringatan serta amaran kepada penunggang motosikal tersebut. Tindakan saman juga telah dikeluarkan atas kesalahan tidak mempunyai lesen,” katanya dalam kenyataannya di sini semalam.

Tegas Sulizmie Affendy, pihaknya menafikan berlaku sebarang kekerasan termasuk menampar penunggang itu oleh anggota bertugas seperti didakwa pemilik akaun TikTok tersebut.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak sewenangnya mengeluarkan kenyataan berunsur khabar angin dan fitnah yang boleh menjejaskan kredibiliti pasukan polis,” katanya. – UTUSAN ONLINE