Polis buru individu berkomplot syarikat daging sejuk beku

Polis buru individu berkomplot syarikat daging sejuk beku

bhnews@bh.com.my

JOHOR BAHRU: Polis sedang memburu saki-baki individu yang berkomplot dalam pengedaran daging sejuk beku import dari Brazil diragui status halal dan melebihi had permit, disyaki bagi pasaran tempatan.

Sehingga kini, dua suspek utama yang masih bebas dikenal pasti sebagai Tan Siew Huak, 42, dari Ulu Tiram, Johor dan Wong Ah Kheong, 44, dari Kuantan, Pahang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pihaknya sudah menahan seramai 36 suspek daripada 19 syarikat pengedar daging sejuk beku import itu.

Beliau berkata, ia membabitkan seramai 15 individu di Johor, masing-masing tujuh di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, Selangor (5) dan masing-masing satu di Perak dan Kedah menerusi Op Kartel Daging yang dijalankan JSJ di seluruh negara.

“Polis percaya syarikat ini sudah agak lama beroperasi, bagaimanapun tidak dapat mengesahkan tempohnya.

“Berdasarkan dokumen yang dirampas, kegiatan ini sejak tahun 2018 sehingga tahun lalu. Masih ada lagi saki-baki suspek yang terbabit sedang diburu pihak polis.

“Siasatan dilakukan secara menyeluruh bagi kesalahan pakatan jahat jenayah dengan daging tidak sah diedarkan ke seluruh negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Huzir berkata, setakat ini siasatan awal mendapati kegiatan berkenaan tidak membabitkan individu kenamaan.

“Kegiatan membabitkan aktiviti mengeksport kita belum pasti lagi, tetapi apa yang boleh disahkan ia (daging) sudah diedarkan kepada 202 pelanggan di seluruh negara.

“Jika sabit kesalahan, individu yang terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 120B Kanun Keseksaan. Kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan pula membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top