harisfadli@hmetro.com.my
Subang Jaya: Cermin belakang kereta Perodua Myvi milik pasangan suami isteri pecah akibat dibaling batu oleh seorang penunggang motosikal yang tidak dikenali di SS14, di sini, 14 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata kejadian berlaku ketika kereta dipandu wanita tempatan berusia 42 tahun itu membelok ke arah Jalan Jengka, SS17 di sini pada 10.40 pagi.
Menurutnya, ketika ingin membelok ke kanan mangsa dan suaminya terdengar bunyi hentakan di bahagian belakang dipercayai berpunca daripada balingan batu oleh suspek terbabit.
“Mangsa membuat pemeriksaan dan mendapati cermin bahagian belakang pecah dan kerugian dianggarkan sekitar RM400.
“Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka (belakang) mendapati kenderaan mangsa diekori seorang lelaki yang bangsa dan nombor pendaftaran tidak dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, mangsa mendakwa tidak mengenali suspek dan mendakwa tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pihak.
Katanya, setakat ini pihak polis sedang mengenal pasti identiti dan mengesan suspek terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Terdahulu satu klip video tular di media sosial memaparkan kejadian itu sambil mendakwa kejadian seumpama itu sudah sering kali terjadi di kawasan berkenaan.
Klip video berdurasi 30 saat itu memaparkan motosikal tidak bernombor pendaftaran ditunggang suspek mengekori kenderaan mangsa selama beberapa saat sebelum membaling batu.
Bagaimanapun Azlan berkata berdasarkan semakan hanya satu laporan polis diterima berhubung kejadian seperti itu di sini setakat ini.
Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Ahmad Faizal Shaikh AB Rahim di talian 0197506606.
© New Straits Times Press (M) Bhd




