Polis cari individu keluarkan ucapan berbaur hasutan ketika perhimpunan di Tawau

Polis cari individu keluarkan ucapan berbaur hasutan ketika perhimpunan di Tawau

am@hmetro.com.my

Tawau: Polis mengesan seorang wanita dipercayai mengeluarkan ucapan berbaur hasutan ketika Himpunan Solidarity Justice For Zara di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima tiga laporan daripada orang awam berhubung ucapan dikatakan menyentuh kedudukan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati wanita berkenaan adalah antara individu diberi peluang berucap dalam himpunan itu.

“Ucapan itu didakwa mengandungi unsur hasutan terhadap TYT dan menimbulkan keresahan awam dan polis membuka kertas siasatan berhubung perkara ini.

“Kes masing-masing disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 dan 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jasmin berkata, bagaimanapun setakat ini belum ada tangkapan dilakukan, namun pihaknya giat mengesan suspek yang sudah dikenal pasti itu serta memanggil beberapa saksi lain untuk membantu siasatan.

Jelasnya, polis akan menjalankan siasatan secara telus dan berlandaskan prosedur bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur hasutan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam kerana tindakan tegas akan diambil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top