Polis cari pemandu lori cuba rempuh orang awam

Polis cari pemandu lori cuba rempuh orang awam

SEREMBAN: Polis kini sedang mengesan seorang pemandu lori yang dipercayai cuba merempuh orang awam yang sedang minum di meja di tepi jalan dengan video kejadian tersebut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, hasil semakan lanjut mendapati kejadian berkenaan telah berlaku Taman Permai 3, di sini.

“Lebih kurang pukul 2.15 petang hari ini, telah di dapati satu video berdurasi 1.03 minit dimuat naik di Facebook dan tular. 

“Ia memaparkan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki cuba merempuh orang awam yang sedang minum di meja di tepi jalan.

“Sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima berhubung insiden yang berlaku. Hasil semakan lanjut mendapati kejadian berlaku di Jalan Kerapu, Taman Permai 3, Seremban, tarikh dan masa kejadian dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Nanda, pihak polis kini dalam usaha mengenal pasti pemandu lori terbabit untuk dibawa ke muka pengadilan.

“Mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.-UTUSAN.