Polis Kedah bongkar kegiatan phone scam

Polis Kedah bongkar kegiatan phone scam

ALOR SETAR: Polis Kedah berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan dalam talian (phone scam) dengan penahanan 54 suspek termasuk warga asing dalam satu serbuan di premis kilang di kawasan Perindustrian Mergong 2 di sini, kelmarin.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, serbuan dilakukan pada pukul 6 petang itu turut menahan tiga warga tempatan dipercayai dalang kes itu di premis yang dijadikan sebagai pusat panggilan kegiatan penipuan berkenaan.

“Sindiket yang dipercayai beroperasi sejak empat bulan lalu itu menggunakan modus operandi sama dengan sindiket lain iaitu menyamar sebagai pegawai gensi penguatkuasaan seperti kastam, polis atau pegawai bank. Mereka menggunakan skrip sama untuk memperdaya mangsa.

“Mangsa akan dimaklumkan bahawa akaun bank mereka sedang disiasat dan wang mereka akan dibekukan atau hilang. Bagi mengelak perkara itu mangsa diminta memindahkan wang ke dalam akaun diberi sindiket,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Beliau menambah, kesemua suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun itu terdiri daripada dua lelaki warga Bangladesh, 19 lelaki warga Taiwan, seorang wanita warga Taiwan dan 29 lelaki warga China.

“Sindiket ini menyasarkan mangsa dari China dan Taiwan. Selain itu pihak polis turut merampas dua kenderaan yang digunakan oleh sindiket tersebut termasuk 70 telefon bimbit dan empat komputer.

“Dengan penangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan 125 kes penipuan yang dilakukan sindiket tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek direman sehingga 7 Julai ini. Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 15 (1)(C) Akta Imigresen 1959 atas kesalahan tinggal melebihi tempoh dibenarkan,” katanya.

Menjelas lanjut, kata Fisol, polis turut mengesan dua saksi berusia 34 dan 47 tahun dipercayai dapat membantu kes tersebut yang terdiri daripada pemilik premis dan pemilik syarikat kenderaan.

“Polis ingin menyeru orang ramai supaya berhati-hati sekiranya didekati mereka untuk menyewa premis dengan mendapat bayaran lumayan. Orang ramai juga perlu peka jika ada pergerakan seperti lori menghantar makanan yang keluar masuk di kawasan masing-masing tetapi tak ada orang yang kelihatan di sekelilingnya. 

“Semua maklumat itu menjadi petunjuk penting dan boleh disalurkan kepada polis,” katanya. – UTUSAN