Polis Kelantan adakan latihan simulasi ancaman pengganas di Stesen Jana Kuasa Pergau

Polis Kelantan adakan latihan simulasi ancaman pengganas di Stesen Jana Kuasa Pergau

am@hmetro.com.my

Jeli: Polis Kelantan buat julung kalinya mengadakan satu latihan amal simulasi ancaman pengganas bagi menguji tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan dan agensi berkaitan dalam menghadapi sebarang ancaman pengganas atau jenayah besar-besaran yang diadakan di Stesen Jana Kuasa Sultan Ismail Petra, Pergau, di sini, hari ini.

Simulasi berkenaan diadakan selama tiga hari bermula Selasa lalu membabitkan lebih 200 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Senario simulasi yang diadakan pada hari terakhir hari ini menampilkan ancaman bersenjata, insiden tebusan, letupan IED dan operasi rundingan berprofil tinggi.

Setiap elemen dirancang meniru situasi dunia sebenar bagi menguji bukan sahaja kekuatan fizikal, tetapi juga kebijaksanaan taktikal, kestabilan emosi dan ketepatan membuat keputusan di bawah tekanan masa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sebarang ancaman atau sabotaj terhadap infrastruktur ini boleh memberi kesan domino yang menggugat ekonomi, kestabilan dan keselamatan rakyat.

“Oleh itu, kesiapsiagaan bukan lagi pilihan tetapi kewajipan dan latihan seperti ini bukan sekadar ujian taktikal, tetapi manifestasi kesungguhan pasukan keselamatan dalam mempertahankan aset strategik negara.

“Kita kini berhadapan dunia tanpa sempadan, di mana ancaman boleh muncul dari luar mahupun dalam. Musuh mungkin tidak berwajah, tetapi niat mereka jelas menggugat kestabilan tanah air.

“Justeru, setiap anggota keselamatan mesti bersedia sebelum diuji, bertindak sebelum diarahkan, dan berani sebelum digentar,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Latihan Amal Simulasi Ancaman Pengganas Ke Atas Sasaran Penting di Stesen Jana Kuasa Sultan Ismail Petra, Pergau.

Beliau berkata, Stesen Jana Kuasa Sultan Ismail Petra, Pergau bukan sekadar sebuah fasiliti tenaga tetapi nadi utama penjanaan elektrik negara yang menjana hampir 600 megawatt (MW) tenaga bagi menjamin kestabilan bekalan di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Dengan kejuruteraan yang kompleks dan tekanan air mencecah 600 meter, empangan ini menjadi antara stesen hidroelektrik paling efisien dan strategik di Malaysia.

“Tidak hairanlah ia diiktiraf sebagai Aset Strategik dan Sasaran Penting Negara (SPN) di bawah kawal selia Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai simbol ketahanan ekonomi, kestabilan sosial dan kedaulatan negara.

“Justeru, Pasukan Tindak Balas Krisis atau Crisis Response Team (CRT) diaktifkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli bagi menangani sebarang ancaman atau kejadian jenayah yang berlaku di kawasan Pergau,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top