am@hmetro.com.my
Padang Besar: Polis memburu penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bukit Chabang, di sini, yang melarikan diri semalam.
Kehilangan penghuni lelaki berkenaan disedari petang semalam sebelum satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar sekitar jam 12.07 tengah malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Sarih Salleh berkata, kehilangan penghuni berkenaan dikesan kira-kira jam 4.15 petang semalam apabila pihak PUSPEN mendapati berlaku kekurangan seorang penghuni.
“Penghuni terbabit dikenal pasti sebagai Ahmad Syamil Shahar berusia 25 tahun dan beralamat di No 59, Kampung Kubang Pangas, Mukim Kubang Rotan di Alor Setar, Kedah.
“Sebelum kejadian, PUSPEN Bukit Chabang mengadakan Hari Perjumpaan Keluarga dari jam 3.30 hingga 4 petang dan pemeriksaan menyeluruh dijalankan selepas itu namun Ahmad Syamil gagal dikesan dan disyaki melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya, susulan kejadian itu, pihaknya melancarkan Op Tutup dengan menggerakkan kekuatan seramai dua pegawai dan 22 anggota polis.
“Tiga sekatan jalan raya strategik dilakukan di sekitar daerah Padang Besar bagi memperketat kawalan, menghalang pergerakan individu terbabit serta memastikan keselamatan awam.
“Ahmad Syamil sebelum ini disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan diperintahkan Mahkamah Majistret Alor Setar untuk menjalani rawatan serta pemulihan di PUSPEN Bukit Chabang selama dua tahun bermula 8 Julai tahun ini hingga 8 Julai 2027,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan berkaitan kecuaian penjawat awam membiarkan seseorang lari dari tahanan serta Seksyen 224 Kanun Keseksaan berhubung tentangan atau halangan terhadap penangkapan yang sah di sisi undang-undang.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi IPD Padang Besar atau Inspektor Muhammad Aziq Alias di talian 019-691 5959 bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




