mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad bola sepak wanita negara mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mengikat Laos 1-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan A, Piala AFF Wanita di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan Malayan Tigress terus menghidupkan peluang memburu slot ke separuh akhir menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan.
Malaysia terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan Kemmy Phatdala pada minit ke-37 yang meletakkan Laos di depan sebelum tamat babak pertama.
Tersentak dengan gol itu, anak buah Joel Cornelli tampil lebih agresif sebaik babak kedua bermula bagi memburu gol penyamaan.
Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila pemain gantian, Hadfina Firdaus, muncul wira pasukan menerusi tandukan kemas pada minit ke-50 untuk mengikat kedudukan 1-1.
Gol itu menyuntik semangat baharu kepada Malayan Tigress yang terus mengasak kubu Laos, namun gagal menambah jaringan sehingga wisel penamat.
Keputusan seri itu menyaksikan Malaysia membawa pulang satu mata berharga dalam usaha memburu tempat ke separuh akhir kejohanan.
Malaysia kini perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada aksi terakhir Kumpulan A menentang Singapura yang dijadual berlangsung di venue sama pada Khamis depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




