Polis lupus tangki tambahan diubah suai dalam tayar ganti

PADANG BESAR: Sindiket penyeludupan petrol dan diesel bersubsidi dikesan menggunakan pelbagai helah bagi menggelak dikesan antaranya seperti melindungi tangki tambahan dengan menggunakan tayar ganti.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, polis mengesan modus operandi itu semakin kerap digunakan oleh pihak sindiket sejak bermula tahun lalu bagi menyeludup bahan bakar tersebut.

Menurut beliau, menerusi pelupusan barang kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar tahun ini, terdapat sebanyak 14 tangki minyak kenderaan telah diubah suai bagi pelbagai tujuan.

“Tangki minyak dilupuskan itu terdiri daripada 12 tangki kereta dan dua tangki kenderaan pikup dengan keseluruhan nilai dianggarkan RM25,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar semalam.

Mohd Shokri berkata, selain tangki minyak, sebanyak 21 ekzos motosikal bernilai RM8,350 turut dilupuskan sekali gus menjadikan nilai keseluruhan barang kes yang dilupuskan berjumlah RM33,350.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, pelupusan itu membabitkan 35 kes dengan 27 daripadanya disiasat mengikut Seksyen 6(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala lapan lagi melibatkan Fail Tindakan Minit Tercerai (FTMT).

“Pelupusan ini dilakukan selepas mendapat kelulusan dengan mengambil kira status kes, keputusan mahkamah atau arahan pihak atasan serta mengikut tatacara ditetapkan,” katanya.

Ujar Mohd Shokri berkata, sebanyak 10 kenderaan turut disita hasil tindakan penguatkuasaan termasuk menerusi Op Tiris 4.0 yang dilaksanakan sejak 22 April lalu bagi membanteras penyalahgunaan dan penyelewengan bahan api bersubsidi.

Katanya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Padang Besar turut mengeluarkan sebanyak 4,350 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas bagi tempoh sejak anuari hingga Julai tahun ini.

“Jumlah kutipan saman bagi tempoh berkenaan sebanyak RM140,910 membabitkan kesalahan seperti nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, tiada nombor pendaftaran, mengabaikan isyarat lalu lintas, memotong secara berbahaya, tidak memakai tali pinggang dan topi keledar serta menggunakan telefon,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top