hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) dan Lembaga Tabung Haji (TH) akan menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu jemaah haji yang terkandas pada musim haji 1446H/2025M.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, pasukan berkenaan akan mula beroperasi pada 8 pagi, 30 Mei ini secara 24 jam setiap hari.
Menurutnya, pusat operasi pasukan itu akan ditempatkan di Bilik Mesyuarat One Stop Center, Aras 2 Blok B Parking Terminal Utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
“Penubuhan pasukan itu untuk menyelaras siasatan, pengurusan dokumentasi termasuk tindakan tangkapan terhadap individu atau pemilik syarikat yang disyaki terbabit dalam penipuan tawaran haji.
“Semua tindakan akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada mengikut kesalahan dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, polis, Motac dan TH masing-masing mempunyai bidang kuasa dan perundangan tersendiri dalam menangani pelbagai kesalahan berkaitan penipuan haji.
“Justeru, penubuhan pasukan berkenaan adalah langkah strategik bagi memastikan setiap aduan berkaitan isu jemaah haji terkandas dapat ditangani secara efisien, teratur dan berkesan.
“Sebagai langkah pencegahan, bakal jemaah haji dinasihatkan supaya membuat semakan terperinci terhadap pakej haji yang ditawarkan.
“Pastikan syarikat pengendali adalah berdaftar dengan TH sebagai syarikat pengelola jemaah haji yang sah bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




