Polis Pahang gempur 41 sarang dadah

Polis Pahang gempur 41 sarang dadah

KUANTAN – Polis gempur 41 sarang dadah dan melakukan 369 serbuan sepanjang tempoh tiga hari Ops Sarang dilaksanakan berakhir semalam di Pahang.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, operasi kali ini bertumpu di kawasan perladangan dan perumahan di tanah rancangan Felda membabitkan 18 pegawai, 156 anggota dengan bantuan sembilan anggota polis bantuan Felda.

Polis memberkas 464 individu termasuk lapan wanita yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dalam operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) yang diadakan serentak di 11 daerah.

“Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 19 hingga 71 tahun dan daripada jumlah yang ditahan, seramai 24 orang adalah pengedar manakala enam lagi adalah orang yang dikehendaki.

“Seramai tiga orang telah dituduh mengikut Seksyen 39 C Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala 30 orang lagi turut dicadangkan untuk dituduh mengikut seksyen yang sama.

”Manakala jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai lebih RM95,000 dengan nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah lebih RM72,000,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Polis Pahang sentiasa memandang serius mengenai masalah penyalahgunaan dadah dan sentiasa komited untuk membasmi masalah gejala dadah yang menjadi kegusaran masysrakat. – MalaysiaGazette