Polis rakam keterangan cucu Nik Aziz, senator susulan insiden tampar pipi

Polis rakam keterangan cucu Nik Aziz, senator susulan insiden tampar pipi

am@hmetro.com.my

Kuantan: Polis Pahang mengesahkan menerima laporan penuntut universiti didakwa ditampar seorang senator dalam satu program yang diadakan di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) di Janda Baik, Bentong.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, laporan diterima Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong pada 12.11 tengah hari, 30 Mei lalu.

Katanya, kejadian didakwa berlaku dalam Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 anjuran sebuah institusi pendidikan kira-kira 6 petang, 20 Mei.

“Pengadu adalah seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun dan hasil siasatan mendapati lelaki berusia 62 tahun yang juga ahli politik tempatan telah menampar pipi kiri mangsa di hadapan beberapa individu yang turut berada di tempat kejadian.

“Mangsa membuat laporan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan ahli politik terbabit, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Pada 7 malam semalam, pihak polis turut menerima laporan daripada ahli politik berkenaan berhubung kejadian itu dan sudah merakam keterangan mangsa serta suspek.

“Kita akan merakam keterangan beberapa orang saksi kejadian bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau meminta orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kejadian yang boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa.

Terdahulu, Polis Kelantan memaklumkan pihaknya menyerahkan kepada Polis Pahang berhubung siasatan kes cucu Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa ditampar seorang senator dalam sebuah program di Pahang pada 20 Mei lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top