Polis sahkan serbuk karbaid untuk peram buah punca letupan kuat

Polis sahkan serbuk karbaid untuk peram buah punca letupan kuat

am@hmetro.com.my

Klang: Polis mengesahkan kejadian letupan di sebuah premis menjual buah-buahan yang terletak bersebelahan Masjid Bandar Diraja Klang di Jalan Gudang Nenas, Bandar Baru Klang berpunca daripada serbuk karbaid untuk pemeraman buah.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya bersama pasukan bomba tiba di lokasi kejadian sebaik menerima maklumat pada jam 5.21 petang tadi.

“Siasatan awal mendapati, kejadian letupan berlaku di bahagian belakang premis yang mana letupan berpunca daripada simpanan serbuk karbaid yang digunakan untuk pemeraman buah-buahan.

“Letupan itu menyebabkan kerosakan di bilik simpanan buah (bilik sejuk) serta mengakibatkan kerosakan kecil beberapa kenderaan awam.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. Polis menyeru orang awam agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau andaian tidak berasas yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan orang ramai dikejutkan dengan bunyi letupan kuat yang merosakkan kedai buah-buahan malah serpihan akibat letupan terkena kenderaan dan masjid berhampiran dalam kejadian itu.

Akibat letupan berkenaan, buah-buahan bertaburan dan barang niaga berselerakan malah ada bumbung premis tercabut dan tercampak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top