am@hmetro.com.my
Ipoh: Polis membuka dua kertas siasatan berhubung tindakan seorang guru membuat hantaran jelik di media sosial berkaitan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas di Gerik, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Menurutnya, siasatan dibuat berdasarkan satu laporan yang diterima pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung jam 4.40 petang semalam mengenai status atau hantaran di Facebook (FB) daripada akaun pengguna ‘Khalid Yunus’.
“Akaun itu mengeluarkan hantaran jelik mengenai penuntut UPSI yang terbabit dalam tragedi kemalangan jalan raya baru-baru ini.
“Orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang hantaran yang boleh mendatangkan kegusaran atau mengganggu ketenteraman awam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sudah mengarahkan satu laporan lengkap disediakan berhubung tindakan seorang guru membuat hantaran jelik di media sosial berkaitan pelajar UPSI yang maut dalam nahas di Gerik, Isnin lalu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah dilapor berkata, siasatan mendapati pemilik akaun FB terbabit adalah seorang pendidik yang bertugas di sebuah sekolah menengah di Perak.
Guru terbabit mencetuskan kontroversi apabila memuat naik hantaran jelik yang kemudiannya tular sehingga mengguris hati ahli keluarga mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd

