Jakarta: Lapan lapangan terbang di Indonesia, termasuk dua yang mengendalikan penerbangan ke Jakarta masih ditutup setakat awal pagi ini, berikutan abu gunung berapi daripada letusan Gunung Anak Krakatau, kata Menteri Pengangkutan.
Abu Gunung Anak Krakatau yang terletak di antara Pulau Jawa dan Sumatera menyelubungi Jakarta serta beberapa kawasan sekitarnya sejak gunung berapi itu meletus lewat Jumaat lalu, menyebabkan lapangan terbang ditutup atas faktor keselamatan.
Kementerian Pengangkutan berkata, kira-kira 170,000 orang terjejas akibat pembatalan penerbangan.
“Kami tidak dapat memastikan bila keadaan ini akan berakhir berikutan cuaca yang dinamik,” kata Menteri Pengangkutan Dudy Purwagandhi dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, lapan lapangan terbang, termasuk yang beroperasi di wilayah Lampung dan Jawa Barat di Jakarta akan kekal ditutup sehingga sekurang-kurangnya 8.59 pagi (waktu Indonesia).
Laman sesawang agensi meteorologi Indonesia (BMKG) menunjukkan letusan terbaharu Gunung Anak Krakatau berlaku pada 8.23 malam Ahad.
Letusan itu menyebabkan abu mencapai ketinggian sehingga 20,000 kaki (6,000 meter) di bahagian gunung berapi yang menghadap Jawa, manakala di bahagian menghadap Sumatera, abu mencapai 50,000 kaki (15,000 meter) serta beberapa kawasan di wilayah Banten, Jawa.
Pada Ahad, agensi bencana menggesa orang ramai memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah disebabkan abu gunung berapi.
Di Jakarta dan Lampung, sekolah akan melaksanakan pembelajaran jarak jauh bagi mengurangkan risiko kesihatan terhadap pelajar, lapor agensi berita nasional Antara.
Indonesia terletak dalam Lingkaran Api Pasifik, kawasan yang sering mengalami gempa bumi dan letusan gunung berapi.
Anak Krakatau mula muncul kira-kira satu abad lalu di kawasan yang sebelum ini lokasi Gunung Krakatau, yang ketika itu dikenali sebagai Krakatoa.
Gunung berapi lebih tua itu musnah dalam siri letusan besar pada 1883, yang mengorbankan lebih 36,000 orang susulan beberapa siri tsunami.
© New Straits Times Press (M) Bhd

