Polis Selangor tumpaskan empat sindiket, rampas bunga ganja RM13.34 juta

Polis Selangor tumpaskan empat sindiket, rampas bunga ganja RM13.34 juta

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis Selangor menumpaskan empat sindiket pengedaran dadah dengan merampas 116.2 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM13.34 juta menerusi empat serbuan berasingan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Kota Warisan, Sepang dekat sini, bulan lalu dan awal bulan ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, dalam serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA dengan kerjasama Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad KLIA itu, seramai lima suspek berumur 25 hingga 40 tahun ditahan membabitkan dua lelaki warga asing, seorang lelaki warga tempatan dan dua wanita tempatan.

“Dalam serbuan pertama pada 29 Jun lalu, polis mengesan dua bagasi mencurigakan semasa melalui mesin imbasan di terminal dan menahan pemiliknya iaitu seorang lelaki warga asing dari sebuah negara di rantau Asia Tenggara.

“Polis menahan suspek di ruangan menunggu pelepasan penerbangan. Hasil pemeriksaan awal, polis menemukan 60 bungkusan plastik dianggarkan seberat 33.6kg bernilai RM2.7 juta.

“Dalam serbuan kedua, di lokasi sama polis mengesan satu bagasi mencurigakan dan menemukan 39 bungkusan plastik dianggarkan seberat 21.1kg bernilai RM1.7 juta.

“Susulan itu, polis menahan seorang lelaki warga tempatan yang juga pemilik bagasi terbabit. Saringan awal air kencing, suspek positif dadah amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Shazeli berkata, bagi serbuan ketiga pada 3 Julai lalu, polis menahan pasangan suami isteri warga tempatan di parkir sebuah kondominium sekitar Kota Warisan dan merampas empat bagasi dan tiga beg plastik berisi 146 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat bunga ganja dengan anggaran berat 76kg, bernilai RM6.1 juta.

“Dalam serbuan itu, polis turut menyita sebuah kereta jenis Perodua Alza bernilai RM20,000 yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penghantaran dadah. Ujian saringan mendapati, suspek kedua, (wanita) positif dadah jenis THC.

“Siasatan mendapati, kedua-dua suspek ini aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak dua tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, keesokannya polis mengesan dua bagasi mencurigakan semasa melalui mesin imbasan di Terminal 1 dan menemukan 68 bungkusan plastik dianggarkan seberat 35.5kg bernilai RM2.84 juta.

“Polis menahan seorang lelaki warga asing dari negara Eropah yang juga pemilik bagasi terbabit. Saringan awal air kencing mendapati, suspek negatif dadah,” katanya.

Katanya, semakan ke atas semua suspek mendapati, tiga suspek warga tempatan yang ditangkap masing-masing mempunyai satu hingga tujuh rekod dadah dan jenayah lampau, manakala warga asing tiada rekod jenayah di negara ini.

“Semakan dokumen perjalanan dua warga asing mendapati, suspek menggunakan pas lawatan sosial untuk memasuki negara ini.

“Semua suspek masing-masing ditahan reman selama tujuh hari bermula dari tarikh ditangkap, dan reman disambung lagi. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top