Polis siasat anggota cuai sebabkan OKT lolos 

Polis siasat anggota cuai sebabkan OKT lolos 

PETALING JAYA: Polis membuka dua kertas siasatan berkaitan insiden Orang Kena Tahan (OKT) warga Myanmar yang meloloskan diri dari kenderaan polis di Jalan Kuching menghala pusat bandar di sini, kelmarin. 

Dalam kejadian pukul 12.50 tengah hari itu, suspek tersebut dipercayai dalam perjalanan pulang ke Ibu pejabat Polis (IPD) Wangsa Maju setelah selesai permohonan reman di Lokap Berpusat Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, siasatan mendapati tahanan melarikan diri dengan membuka gari sebelum terjun daripada lori di lokasi kejadian. 

Bagaimanapun, menurutnya, pihak polis menahan lelaki tersebut kira-kira 9.20 malam pada hari sama di Masjid Medan Idaman Setapak di sini .

“Kita sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan. 

“Siasatan turut dijalankan terhadap anggota kerana kecuaian ketika menjalankan tugas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Tambahnya, pihak polis turut mengesan dua rakan sejenayahnya dipercayai terlibat dengan kegiatan samun di sekitar ibu negara. 

“Kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut,” ujarnya.-UTUSAN