hafidzul@hmetro.com.my
Subang Jaya: Polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung penularan video di media sosial yang memaparkan penjualan tudung bercorak Jalur Gemilang tidak lengkap di sebuah pasar raya di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, laporan berkenaan diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada jam 4.49 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati hanya sebahagian tudung sahaja yang tidak mempunyai corak Jalur Gemilang yang lengkap yang diterima daripada pihak pembekal.
“Pihak pasar raya sudah mengambil langkah awal dengan mengeluarkan dan mengasingkan tudung yang dikenal pasti tidak mempunyai corak sepenuhnya daripada kawasan jualan bagi mengelakkan di jual di pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, susulan penularan video berkenaan, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 iaitu penggunaan Jalur Gemilang yang tidak mencukupi sifat.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.
“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya sekali,” katanya.
Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu tular berkenaan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menyalurkannya kepada Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100, dan identiti pemberi maklumat dijamin dirahsiakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
