Duda ditahan berkhalwat bersama gadis 18 tahun

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seorang duda berusia 40-an ditahan bersama gadis berusia 18 tahun dalam bilik sewa di rumah kedai di Pasir Gudang di sini, 2.15 pagi hari ini.

Pasangan terbabit ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) susulan aduan awam.

Menurut JAINJ, ketika pemeriksaan, penguat kuasa mendapati lelaki berkenaan berada di dalam bilik bersama anak lelakinya berusia sembilan tahun dan gadis terbabit.

“Pemeriksaan mendapati gadis berkenaan sedang berada di atas katil bujang, manakala kanak-kanak terbabit tidur di lantai beralaskan selimut dan bantal.

“Lelaki itu yang bekerja di Pasir Gudang mengaku berstatus duda anak dua, manakala gadis terbabit masih belum berkahwin dan tidak bekerja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, ketika disoal siasat, pasangan itu pada awalnya memberi alasan gadis berkenaan datang ke bilik tersebut untuk membantu mengemas rumah.

Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati gadis berkenaan yang tinggal kira-kira 15 kilometer dari situ kerap datang ke premis berkenaan, iaitu kira-kira dua hingga tiga kali seminggu.

Katanya, lelaki terbabit menyewa bilik berkenaan bersama anaknya, manakala bekas isterinya menjaga seorang lagi anak mereka.

“Lebih mengelirukan apabila kanak-kanak berkenaan memanggil lelaki itu sebagai ‘papa’ dan gadis terbabit sebagai ‘mama’.

“Apabila ditanya sama ada mereka sudah berkahwin, kedua-duanya mengakui belum berkahwin dan hanya merancang untuk bernikah tidak lama lagi,” katanya.

Susulan pengakuan itu, pasangan berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top