PETALING JAYA: Polis melakukan siasatan berhubung penularan video memaparkan seorang wanita menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi, dekat sini.
Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, siasatan berhubung kes berkenaan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Kata beliau, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni.
“Selain itu, kertas siasatan juga dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau, meminta orang ramai tidak memainkan sebarang isu yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman dan keagamaan dalam kalangan masyarakat.
“Polis akan mengambil tindakan tegas sebagaimana diperuntukkan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang cuba bertindak dalam apa jua cara sehingga menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 54 saat menunjukkan seorang wanita tampil berpakaian sopan dalam satu majlis di sebuah kelab malam di TTDI.
Dalam video berkenaan, wanita itu mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum dia menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan auratnya.
Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dilaporkan sedang menyiasat video tular tersebut. – UTUSAN