am@hmetro.com.my
Seremban: Polis Negeri Sembilan melakukan 15 operasi di kawasan rumah kedai terbiar di Taman Bandar Seremban Selatan, di sini, yang menjadi lokasi mat rempit berkumpul dan melakukan aksi bahaya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, gejala samseng jalanan itu di lokasi panas itu dikesan sejak 2020.
Katanya, pihaknya juga maklum dengan kebimbangan penduduk mengenai aktiviti tidak sihat itu yang boleh mengundang masalah sosial lain,
“Biasanya aktiviti itu berlangsung setiap petang Ahad. Perkara ini mendatangkan kebimbangan penduduk sekitar berkaitan keselamatan mereka termasuk berlaku kemalangan jika melalui kawasan itu.
“Sehingga kini JSPT melaksanakan 15 operasi terancang di lokasi itu bagi membasmi aktiviti lumba haram,” katanya.
Beliau mengulas mengenai laporan Harian Metro semalam mengenai kegiatan lumba haram di kawasan perumahan Taman Bandar Seremban Selatan, di sini yang mengundang kebimbangan penduduk.
Memperincikan operasi itu, Muhammad Zaki berkata, 199 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terhadap penunggang motosikal ditahan.
“Kesalahan aksesori tidak lengkap dan tiada cermin sisi mencatatkan jumlah saman paling tinggi diikuti tiada lesen memandu serta ubahsuai ekzos.
“Sehingga kini 15 motosikal disita dalam operasi dilaksanakan. Kebanyakan remaja terbabit berusia 15-22 tahun,” katanya.
Jelasnya, selain Op Samseng Jalanan, pihak JSPT turut melaksanakan Op Motosikal di kawasan itu sepanjang tempoh 2021 hingga 2025.
“Melalui operasi ini, sembilan tangkapan mengikut 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk satu tangkapan mengikut Seksyen 108(3)(f) akta sama kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu,” katanya.
Beliau berkata, operasi sebegitu terus dijalankan dari semasa ke semasa untuk membendung gejala samseng jalanan serta mengekang kebimbangan masyarakat.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat sebarang aktiviti samseng jalanan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) berdekatan,” katanya.
Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsi ke emel Suara Anda, Kami Dengar di am@hmetro.com.my
© New Straits Times Press (M) Bhd




