am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Polis menahan 13 individu termasuk seorang ahli keluarga kepada ahli perniagaan yang mendakwa diculik sekumpulan individu dalam kejadian 13 Oktober lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya menahan semua individu berusia 23 hingga 58 tahun itu dalam beberapa siri tangkapan di sekitar negeri ini bermula jam 9 malam tadi hingga pagi ini.
Beliau berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat dan risikan dibuat pasukan task force yang ditubuhkan sejurus menerima laporan dibuat mangsa pada hari kejadian.
“Susulan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor dibantu JSJ Bukit Aman menubuhkan ‘task force’ untuk menyiasat kejadian culik ini dan hasilnya, kita berjaya lakukan tangkapan ke atas 10 lelaki dan tiga wanita.
“Mereka terdiri daripada lapan lelaki tempatan, dua lelaki warga asing, dua wanita tempatan dan seorang wanita warga asing yang mana seorang daripada mereka adalah ahli keluarga kepada mangsa yang diculik.
“Kita turut membuat beberapa rampasan antaranya telefon bimbit dan kad ATM,” katanya ketika sidang media selepas Program ‘Community Policing’ Kontinjen Johor Sempena Sambutan Deepavali 2024 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini, hari ini.
Ditanya mengenai kejadian itu membabitkan wang tebusan, Kumar berkata, pihaknya masih dalam siasatan bagi menentukan kesahihan dakwaan itu.
“Kita sedang menjalankan siasatan, sebab itu dari awal saya pesan, semua pihak jangan buat spekulasi mengenai perkara ini kerana ia ada dua kemungkinan, sama ada ia akan susahkan siasatan polis atau akan timbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang berusia 59 tahun hanya mengalami kecederaan ringan ketika kejadian itu.
Katanya, empat daripada tangkapan itu mempunyai rekod lampau kes jenayah serta dadah dan 10 suspek kini direman sehingga Selasa depan, manakala tiga lagi akan dipohon reman pada esok.
“Kita akan lakukan siasatan susulan mungkin juga ada tangkapan lain, mungkin juga tidak ada,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Penculikan 1962.
Sabtu lalu, Kumar mengesahkan pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian seorang lelaki warga tempatan dilarikan beberapa individu itu pada jam 7.20 malam, 13 Oktober lalu.
Terdahulu, seorang ahli perniagaan mendakwa dilarikan sekumpulan individu sebelum dilepaskan pada hari sama selepas keluarganya membayar sejumlah wang tebusan.
Berdasarkan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan, keluarga ahli perniagaan itu mendakwa terpaksa membayar RM20 juta bagi tujuan membebaskan mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




