Polis tahan lelaki, rampas 65 kotak mercun

Iskandar Puteri: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 65 kotak mercun pelbagai jenis di sebuah premis pengedar minyak pelincir di Taman Perindustrian Empayar, Gelang Patah, di sini, petang semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am, Simpang Renggam Superitendan Dimin Awang, berkata lelaki berumur 28 tahun itu pekerja di premis berkenaan, ditahan anggota pasukannya pada kira-kira 6.45 petang.

“Kesemua mercun terbabit dianggar bernilai lebih RM56,000,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. Katanya, dipercayai stor itu dijadikan tempat simpanan sementara, sebelum dijual untuk sambutan Tahun Baharu Cina.

Dimin berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut. Kes disiasat dibawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

Malay News
National Desk