Kami datang untuk menang – Abang Johari

sukan@hmetro.com.my

Kuching: Kontinjen Sarawak ke Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 diseru mempertahankan kejuaraan yang diraih pada edisi 2024, dengan semangat juang tinggi serta keyakinan untuk muncul juara sekali lagi.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, anak-anak Sarawak tidak seharusnya gentar apabila berdepan atlet dari negeri lain, sebaliknya perlu membawa mentaliti kemenangan setiap kali turun bertanding.

Beliau berkata, walaupun setiap pertandingan mempunyai kemungkinan menang atau kalah, sasaran Sarawak adalah untuk memberikan yang terbaik dalam semua acara yang disertai.

“Apabila kita bertanding, mesti ada menang, mesti ada kalah. Tetapi Sarawak mesti menang semua acara.

“Bukan sahaja mengangkat nama negeri kita, tetapi mengangkat standard yang ada di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, demikian pada majlis penyerahan bendera kepada Kontinjen SUKMA Sarawak di sini, hari ini.

Abang Johari berkata kelebihan beraksi di laman sendiri pada SUKMA 2024 tidak seharusnya dijadikan alasan untuk Sarawak gagal mempertahankan kejuaraan apabila temasya kali ini berlangsung di Selangor.

Sebaliknya beliau mahu atlet Sarawak membawa keyakinan yang mampu mencipta kemenangan di mana sahaja mereka bertanding.

“Anak Sarawak jangan dicabar. Saya percaya apabila kita datang ke Selangor, di mana sahaja kita ditempatkan, kita datang untuk menang, bukan untuk kalah.

“Kalau keluar dari Sarawak ke Selangor, kita datang untuk menang. Saya datang untuk menang. Saya tidak peduli di mana saya bertanding, Selangor pun saya boleh menang,” katanya.

Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai kemudahan sukan yang mampu menyokong pembangunan atlet negeri, selain kerajaan negeri terus komited meningkatkan prasarana bagi melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi.

Katanya kerajaan negeri turut meluluskan pembinaan velodrom di Sarawak selain menaik taraf kemudahan sukan bagi memastikan atlet mempunyai fasiliti terbaik untuk menjalani latihan dan persiapan menghadapi kejohanan.

Menurutnya, Sarawak juga perlu melihat standard negara seperti New Zealand yang meskipun mempunyai jumlah penduduk tidak sebesar negara lain, mampu melahirkan atlet bertaraf dunia dan muncul juara dalam pelbagai acara di pentas Olimpik.

“Kalau New Zealand boleh, kita pun boleh kerana kita mempunyai cita-cita untuk mencapai tahap New Zealand, sudah tentu kita mesti buktikan di Selangor bahawa kita adalah juara,” katanya.

Untuk rekod Sarawak muncul juara keseluruhan SUKMA 2024 selaku tuan rumah sekali gus mencatat kejayaan mempertahankan kedudukan sebagai kuasa besar sukan negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top