Padah berkelakuan tidak senonoh di acara Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi, Johor, tiga orang lelaki telah ditahan polis.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, tangkapan dibuat terhadap dua lelaki warga asing dan seorang warga tempatan, berusia antara 39 hingga 70 tahun.

Jelas Ketua Polis Johor lagi, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana kelakuan yang menghina dan Seksyen 294 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan lucah di tempat awam.
Hasil ujian air kencing juga mendapati kesemua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Siasatan awal mendapati tindakan yang dilakukan oleh ketiga-tiga suspek adalah atas kapasiti individu, dan bukan mewakili pihak penganjur atau program larian yang dianjurkan.
Turut dirampas adalah pakaian dan aksesori yang dipakai ketika larian tersebut antaranya sari berwarna merah, skirt warna merah, tiga keping kadbod berwarna perak dan batang tombak tiruan berwarna perak.





