Polis terima laporan kes lelaki tular aniaya kucing

Polis terima laporan kes lelaki tular aniaya kucing

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kes membabitkan seorang lelaki mengheret kucing secara paksa dengan mengikat leher haiwan itu dengan tali di sebuah kondominium di sini, dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan daripada seorang individu pada 5.38 petang, hari ini.

Katanya, pengadu melaporkan melihat video tular mengenai perbuatan individu tidak dikenali melakukan penderaan terhadap seekor kucing.

“Di video berkenaan terdapat alamat (dipercayai lokasi kejadian) yang tertera di ruang komen, beralamat di Jalan Klang Lama dan pengadu datang membuat laporan untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan oleh Jabatan Veterinar mengikut Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, laporan polis juga sudah dihantar kepada penguat kuasa JPV Kuala Lumpur untuk tindakan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika memohon saksi utama yang merakam kejadian itu untuk tampil membuat laporan polis dan supaya Sistem Keadilan Jenayah Haiwan dapat dijalankan dengan baik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top