am@hmetro.com.my
Baling: Polis tetap meneruskan siasatan berhubung kejadian dua anjing Rottweiler yang menyerang lima individu sehingga menyebabkan kecederaan di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar, berkata polis sedang melengkapkan siasatan dan kertas siasatan itu sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, kes siasatan diteruskan mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana cuai melepaskan anjing di tempat awam.
“Meskipun ada perbincangan dan persetujuan baik antara pejabat daerah dengan pemilik anjing berkenaan, namun daripada pihak polis, siasatan tetap diteruskan.
“Ini berdasarkan laporan polis yang diterima daripada lima individu yang menjadi mangsa akibat serangan anjing berkenaan.
“Pemilik anjing itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Media semalam melaporkan, pemilik dua anjing jenis Rottweiler yang menyerang dan menggigit lima individu di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, Selasa lalu, bersetuju melupuskan haiwan peliharaannya dengan kaedah ditidurkan.
Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahya, berkata persetujuan itu dicapai susulan pertemuan antara pemilik anjing dengan pihak berkuasa berkaitan, semalam.
Majlis Daerah Baling turut mengeluarkan dua kompaun kepada pemilik anjing berkenaan atas kesalahan membela anjing tanpa lesen.
© New Straits Times Press (M) Bhd




