Polis tingkat kawalan keselamatan menjelang perayaan Deepavali

Polis tingkat kawalan keselamatan menjelang perayaan Deepavali

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi tumpuan penugasan anggota di kawasan tumpuan orang ramai menjelang sambutan Deepavali bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat terpelihara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, penugasan itu turut membabitkan pelaksanaan rondaan dan program walkabout di kawasan hotspot seperti Little India, Brickfields yang menjadi lokasi tumpuan utama pengunjung.

“Hari ini kita melaksanakan program walkabout di kawasan tumpuan orang ramai.

“Kawasan ini tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan warga Kuala Lumpur kerana ia benar-benar menjadi tumpuan, terutamanya menjelang sambutan Deepavali,” katanya ketika ditemui pada Program Walkabout Ketua Polis Kuala Lumpur dan Program Cakna Jenayah Malaysia Crime Prevention Foundation (MCPF) Kuala Lumpur di Little India, Brickfields di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya memberi fokus kepada penugasan anggota di lapangan bagi memastikan keselamatan awam terjamin sepanjang musim perayaan.

“Kita lihat suasana di sini meriah dengan kehadiran ramai pengunjung dan inilah suasana yang kita mahukan, kesejahteraan sebegini perlu dikekalkan.

“Kerjasama daripada MCPF, pihak berkuasa tempatan, rukun tetangga dan persatuan perniagaan menunjukkan bentuk sinergi yang komprehensif,” katanya.

Beliau turut menyifatkan program seumpama itu sebagai langkah penting ke arah merealisasikan matlamat KL Sejahtera, selain menegaskan bahawa keselamatan ibu kota memerlukan pendekatan bersama antara polis dan komuniti.

“You want to keep KL safe, this is the way (Kamu ingin kekalkan Kuala Lumpur selamat, ini caranya),” katanya.

Program turut dihadiri Setiausaha MCPF Kuala Lumpur, Yathiren Saminathan; Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohd Hisham Izhar, Pengerusi KRT (A) Brickfields, G Subramaniam serta ahli jawatankuasa MCPF Kuala Lumpur, rukun tetangga dan persatuan peniaga tempatan.

Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan, ketua polis daerah serta pegawai kanan dan rendah PDRM termasuk pasukan Amanita.

Fadil berkata, PDRM akan meneruskan inisiatif seumpama itu di peringkat kontinjen dan daerah bagi memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan bandar raya.

“Program seperti ini akan diteruskan dengan harapan kesejahteraan yang dinikmati warga Kuala Lumpur dapat dikekalkan bersama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top