Paris: Sebelum 2012, Atheyna Bylon tidak pernah menjejakkan kaki di gelanggang tinju. Kini, dia mengintai mencatatkan nama dalam buku sejarah Panama apabila mara ke final tinju middleweight di Sukan Olimpik Paris 2024, di mana dia bakal menjadi pemenang pingat wanita pertama buat negaranya.
Atlet berusia 35 tahun itu, yang juga akan menjadi petinju pertama dari Panama yang meraih pingat, menewaskan Cindy Ngamba dari pasukan pelarian Olimpik dengan keputusan 4-1 untuk melayakkan diri ke final menentang Li Qian dari China esok.
Sejak 1948, Panama sudahpun memenangi tiga pingat di Sukan Olimpik, dua gangsa dan satu emas, yang kesemuanya diraih dalam sukan olahraga.
“Saya teruja. Saya memberikan segala-galanya di luar sana. Ia adalah sejarah. Ia sangat mengujakan. Saya pemenang pingat pertama dalam tinju dari Panama.
“Saya sangat gembira, bersyukur kepada Tuhan, kerana saya mencapai matlamat saya. Saya banyak berkorban selama bertahun-tahun dan ia membuahkan hasil. Saya sangat gembira kerana saya membawa pingat ke Panama
“Saya tahu saya perlu memberikan yang terbaik (pada perlawanan akhir). Ia tidak mudah. Hormat kepada semua pesaing saya. Kami semua mahu menang,” kata Atheyna.
Bekas juara dunia, Atheyna, salah seorang peninju veteran dalam pertandingan tinju, berkata dia mula agak lewat dalam sukan itu.
“Saya tidak pernah mencuba tinju sebelum ini, tetapi polis menganjurkan satu acara. Rakan sekerja saya menggalakkan saya dan saya mengambil bahagian di dalamnya.
“Jadi, pada 2012, saya mencubanya dan pada 2013 saya berada dalam skuad kebangsaan Panama,” kata Atheyna yang mempunyai sebilangan peminat yang bersemangat menyokongnya dari penonton.
“Sekarang, (rakan sekerja polis saya) semua berkumpul di sekolah polis kebangsaan, menontonnya di skrin besar bersama semua pelajar baru dan beberapa bos saya.
“Di seluruh Panama, mereka menyediakan tempat untuk menonton perlawanan, di restoran-restoran.
“Saya tahu Panama sedang meraikannya kerana ini adalah pingat pertama yang dimenangi untuk Panama (dalam tinju).
“Saya tidak dapat membayangkan pesta yang sedang berlangsung di sana. Saya tahu mereka akan meraikannya dengan meriah. Bayangkan seperti karnival, itulah cara mereka akan meraikannya. Saya sangat gembira.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




