“Polis yang bawa ni Shuk Balas ke?”- Ramai terhibur dengan foto lama Anwar Ibrahim

Hari ini, kecoh di media sosial mengenai pelantikan Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 dan beliau telah pun menyempurnakan istiadat angkat sumpah di Istana Negara sebentar tadi.

Seiring dengan kekecohan berlaku, tular sebuah foto lama Anwar Ibrahim sewaktu diiringi oleh pihak berkuasa hadir ke mahkamah dengan mata lebam akibat dibelasah oleh Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor pada 29 September 1998.

Pun begitu, bukan makna foto berkenaan menjadi tumpuan ramai, sebaliknya wajah seorang pemandu kenderaan pihak berkuasa yang membawa Anwar hadir ke mahkamah telah membuatkan ia menjadi bualan.

Menerusi ciapan yang dikongsikan oleh seorang pengguna di laman Twitter, dia meluahkan kesyukuran kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dilantik sebagai Perdana Menteri setelah sekian lama menanti peluang berkenaan.

Akan tetapi, dia menyoal sama ada polis yang membawa Anwar pada ketika itu adalah selebriti Shuk Sahar atau tidak memandangkan individu memakai pakaian berseragam berkenaan mempunyai wajah yang mirip.

“Akhirnya, Anwar menjadi PM setelah menunggu 24 tahun. Cuma nak tanya, polis yang bawa Anwar ni Syuk balas (Shuk Sahar) ke,”ciapnya.

Rata-rata warganet terhibur sebaik sahaja melihat foto berkenaan selain turut mengiyakan individu berkenaan memiliki wajah yang sama dengan pelawak sensasi, Shuk Sahar atau nama sebenarnya Mohammmad Shukri Mohamed Sahar.

Sumber: Twitter @brgsjks