Pontianak ke tu…

Pontianak ke tu…

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Rembau: “Ingatkan puasa tak ada hantu tapi ia munculkan diri pula hari itu,” kata petugas lebuh raya, Azree Mohd Aris 22, ketika diminta berkongsi pengalaman seramnya melihat kelibat seakan pontianak baru-baru ini.

Azree juga berkongsi pengalamannya dengan memuat naik video di TikTok yang menunjukkan penampakan makhluk halus itu.

Bercerita lanjut, Azree berkata, kelibat makhluk itu dilihat kira-kira1 pagi pada Khamis lalu ketika dia sedang melakukan kerja penyelenggaraan di Seremban dekat kilometer (km) 263 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara.

“Waktu itu, saya bersama empat rakan sekerja sedang buat kerja penyelenggaraan kemudian ternampak kelibat macam pontianak di sebalik pokok dekat arah bertentangan.

“Saya tak nampak wajahnya namun rambutnya panjang dalam pakaian berwarna putih.

“Waktu itu, saya terus ambil telefon dan rakam apa yang saya nampak.

“Takut juga nak rakam tapi jadi berani sebab dengan kawan ketika itu.

“Selain saya, dua lagi rakan pun nampak namun makhluk itu tak muncul lama kerana selepas 10 minit saya gerak dan selepas toleh semula, ia sudah tiada,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Meskipun insiden itu menyeramkan, Azree tidak demam selepas pulang ke rumah cuma ada teringat penampakan kelibat makhluk yang dilihatnya.

Menurut Azree, apa yang dilaluinya itu bukan kali pertama kerana pernah ada beberapa pengalaman seram sejak lebih dua tahun menjadi petugas lebuh raya.

“Sebelum ini, ada dua tiga kali nampak hantu bertenggek di atas pembahagi jalan ketika bertugas dekat kawasan Pedas Linggi, Negeri Sembilan.

“Ikutkan, penampakan itu sudah biasa di kawasan lebuh raya termasuk kawasan rehat dan rawat (R&R) dan biasanya muncul antara jam 2 hingga 3 pagi.

“Otai (orang yang sudah lama bekerja) pun pernah cerita pengalaman mereka jadi nak tak nak kena hadap dan saya biasa baca doa sebelum kerja, selebihnya tawakal saja.

“Cuma saya kongsi di TikTok tempoh hari kerana nak tanya pendapat orang untuk kepastian memandangkan setahu saya, syaitan ‘diikat’ dalam Ramadan jadi nak tahu juga macam mana ada yang terlepas.

“Tak sangka boleh tular malah ramai juga komen kongsi pengalaman seram mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd