Potensi destinasi 'jarang kunjung'

Potensi destinasi 'jarang kunjung'

rencana@hmetro.com.my

TOURISM Malaysia melancarkan pertandingan Malaysia Photo Hunt 2025 sebagai sebahagian inisiatif mempromosikan destinasi pelancongan tempatan menjelang kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).

Pertandingan itu dijangka berlangsung dari 1 Jun hingga 31 Ogos ini, terbuka kepada rakyat Malaysia, pemastautin asing dan pelancong antarabangsa yang berminat dalam fotografi dan videografi.

Ia bertemakan pelancongan dengan slogan ‘Malaysia Welcomes the World.’

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),

Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff yang mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan menyatakan keterujaan sekali gus merasmikan pelancaran pertandingan ini.

“Objektif utama program ini adalah mempromosikan tempat-tempat yang jarang dikunjungi atau kurang mendapat perhatian yang mempunyai potensi besar untuk diketengahkan.

“Pertandingan ini bukan sahaja memberi impak positif kepada industri kreatif, malah dapat menarik lebih ramai pelancong melihat keunikan lokasi luar bandar yang masih belum diterokai sepenuhnya.

“Kita juga berharap pertandingan ini mendorong penyertaan pelancong asing dan penduduk tempatan dalam mempromosi Malaysia secara digital melalui media sosial masing-masing,” katanya ketika merasmikan pelancaran Malaysia Photo Hunt 2025 di Malaysia Tourism Centre (MATIC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir Timbalam Ketua Pengarah (Promosi ll) Tourism Malaysia, Lee Thai Hung, Samsung Malaysia, Agnes Wong, Oppo Malaysia, Bryan Tan, Huawei Technology (Malaysia) Sdn Bhd, Karen Lee, Sony Malaysia, Elizabeth Lee, Canon Malaysia, Edward Chang dan Perodua Malaysia, Datuk Jh Rozman Jaafar.

Bagi pertandingan itu, peserta perlu menghantar karya mereka bersama bukti aktiviti melancong seperti resit penginapan berdaftar, tiket ke lokasi pelancongan atau bukti tempahan pengangkutan bertarikh antara 1 Januari hingga 31 Ogos ini.

Antara jenama kamera dan telefon pintar yang terbabit sebagai rakan strategik ialah Canon, Sony, Samsung, OPPO dan Huawei, manakala peserta yang menggunakan jenama lain boleh menyertai pertandingan di bawah kategori khas Tourism Malaysia.

Pemenang bakal memenangi hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM400,000, termasuk empat hadiah utama bernilai RM100,000 untuk kategori kamera dan telefon pintar bagi foto dan video.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top