Amerika Syarikat-Iran umum perjanjian damai

Amerika Syarikat-Iran umum perjanjian damai

Washington: Amerika Syarikat (AS) dan Iran bersetuju memeterai perjanjian damai yang sekali gus menamatkan operasi ketenteraan secara “serta-merta dan kekal” di semua barisan hadapan termasuk Lubnan.

Perkembangan itu diumumkan oleh Pakistan yang bertindak sebagai orang tengah dalam konflik berkenaan sekali gus menandakan berakhirnya perang yang berlarutan lebih tiga bulan di Asia Barat.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menerusi hantaran di platform X mengesahkan bahawa perjanjian damai itu “sudah DICAPAI” manakala majlis menandatangani perjanjian rasmi dijadualkan berlangsung di Switzerland pada 19 Jun ini.

“Perjanjian dengan Republik Islam Iran kini dimuktamadkan,” kata Presiden AS, Donald Trump yang mengesahkan perkara itu menerusi satu kenyataan pada Ahad sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-80.

“Saya dengan ini memberi kuasa penuh untuk pembukaan semula Selat Hormuz tanpa sebarang tol dan pada masa sama, mengarahkan sekatan tentera laut AS ditarik balik serta-merta. Kapal-kapal di dunia, hidupkan enjin anda. Biarkan minyak mengalir!” katanya.

Tidak lama selepas itu, Iran turut mengesahkan bahawa perjanjian yang diumumkan bersama AS itu menamatkan perang antara kedua-dua negara serta-merta.

“Penamatan perang secara kekal dan serta-merta diisytiharkan di semua barisan hadapan termasuk Lubnan,” kata Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi dalam kenyataan yang disiarkan televisyen negara itu.

Beberapa jam sebelum pengumuman itu, Tehran berikrar untuk membalas dendam serangan Israel terhadap sekutu Iran, Hizbullah di pinggir bandar Beirut yang sebelum ini dibimbangi boleh menjejaskan rundingan perjanjian berkenaan.

Bagaimanapun, Sharif kemudiannya mengumumkan bahawa perjanjian itu berjaya dimeterai selain mengucapkan terima kasih kepada AS dan Iran kerana memilih penyelesaian diplomatik bagi menamatkan konflik berkenaan.

“Kedua-dua pihak mengisytiharkan penamatan operasi ketenteraan serta-merta dan berkekalan di semua barisan hadapan termasuk di Lubnan,” tulis Sharif sambil menzahirkan penghargaan kepada pemimpin Qatar, Arab Saudi dan Turkiye atas sokongan mereka dalam menjayakan rundingan berkenaan.

Sepanjang Ahad, situasi kekal tidak menentu apabila Trump secara terbuka menyalahkan Israel kerana melancarkan serangan udara di Beirut pada sebelah pagi yang menurutnya melambatkan proses menandatangani perjanjian itu.

Dalam temu bual telefon dengan agensi berita AS, Axios yang disifatkan tegang dan dipenuhi dengan kata-kata kesat, Trump turut meluahkan kemarahannya terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan berkata: “Saya sangat marah. Saya sudah menyatakannya kepada beliau.”

Tehran sejak sekian lama menegaskan bahawa sebarang perjanjian untuk menamatkan perang perlu turut merangkumi konflik yang berlaku di Lubnan di mana Israel melancarkan kempen ketenteraan terhadap Hizbullah yang disokong Iran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top